03/02/2021
Jemur ikan laga, mitos atau fakta?
Hari ini cuaca agak baik, tidak mendung dan cuaca matahari menyinar panas. Tanpa membuang masa, saya menjemur ikan laga saya selama 20 minit (walaupun ada yang cadang 15 minit sahaja) pada jam 9 pagi. Tetapi apakah fungsi "menjemur" ikan laga ini sebenarnya?
Pada mula dulu, saya berpendapat bahawa jemur ikan laga ini untuk ikan tersebut naik warna atau meransang proses mutasi seperti kebanyakkan laman web dan video nyatakan. Jadi saya mengambil inisiatif untuk mencari jawapan yang lebih konkrit atau dalam erti kata lain, penjelasan saintifik.
Tiada satu 'literature' atau 'scientific journal' yang spesifik mengenai hubungan cahaya matahari dengan ikan laga. Yang ada cuma adalah kajian mengenai sinaran cahaya (bukan cahaya matahari) dan warna bekas akuarium (fungsi baldi warna hitam atau cerah) yang dibuat oleh pengkaji di negara Indonesia. Sekiranya tuan-puan ada kajian yang menyatakan hubungan cahaya matahari terhadap ikan laga, mohon maklumkan pada saya. Walaupun tajuk dinyatakan 'wild splenden' tetapi ikan yang digunakan adalah 'betta splenden' (rujuk gambar)
Jadi, dalam kajian tersebut, cahaya yang digunakan adalah cahaya lampu dan latar belakang kertas berlainan warna. Pengkaji mendapatkan data antara hubung kait kecerahan cahaya atau sinaran UV terhadap ketumbuhan warna di badan ikan laga dan hubung kait antara warna latar terhadap perkembangan itu.
Anda boleh baca sendiri proses dan data di gambar dibawah. Kesimpulanya, kajian ini menunjukkan bahawa warna latar yang terang akan membuatkan ikan tidak stress dan warna menjadi lebih naik. Manakala warna cahaya yang optimal (tidak terlalu terang dan tidak terlalu gelap) akan membantu proses warna dibadan ikan naik lebih bagus. Berkenaan warna latar belakang (grooming tank a.k.a baldi), mungkin boleh diterangkan kemudian.
Jika begitu, kenapa saya menjemur ikan laga saya jika tiada hubungan dengan mutasi? Saya menjemur ikan laga saya kerana untuk kesihatan sisik dan badan ikan laga tersebut, perkara ini ada dibincangkan di forum dan laman web yang menerangkan secara terperinci kesan cahaya matahari kepada ikan laga. Walaubagaimanapun, masih terdapat kesan buruk jika selalu menjemur ikan di bawah cahaya matahari.
Tuliskan pendapat korang di ruang komen. Jom kita belajar bersama-sama.