13/05/2026
SESI LIBAT URUS SIRI 3 BANCIAN TERNAKAN RUMINAN NEGERI KELANTAN 2026 PERKUKUH PELAKSANAAN BANCIAN LAPANGAN
Jeli, 12 Mei 2026 I Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) telah mengadakan Sesi Libat Urus bagi Zon 3 Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan 2026 bertempat di Dewan Taman Desa Rabbana, Jeli, melibatkan penyertaan YB Adun, penggawa dan penghulu dari jajahan Gua Musang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
Program ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan menyeluruh berhubung pelaksanaan bancian ternakan ruminan negeri, termasuk taklimat pengenalan bancian, proses kerja bancian, panduan pengisian borang, simulasi pengisian borang bancian ternakan ruminan serta sesi soal jawab bagi memastikan kelancaran proses pengumpulan data di lapangan.
Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr. Yahasmida, serta perasmian oleh YB Dato’ Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan.
Penganjuran sesi libat urus ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman peserta terhadap pelaksanaan bancian yang sistematik, tepat dan berkesan demi memastikan data industri ternakan ruminan negeri dapat dikumpul secara komprehensif.
JPVNK komited dalam memperkasa pengurusan data sektor ternakan melalui pelaksanaan bancian yang berkualiti sebagai asas perancangan strategik pembangunan industri ternakan negeri Kelantan secara mampan.