14/06/2024
NAMA IZRAIL UNTUK MALAIKAT MAUT
SOALAN :
Benarkah kita dilarang menyebut nama malaikat maut sebagai Izrail?
Benarkah nama Izrail tidak bersumber dari ulamak muktabar tetapi ia hanyalah berasal dari lagu kumpulan nasyeed?
JAWAPAN :
Harus hukumnya menyebut nama malaikat maut sebagai Izrail kerana sebahagian daripada salafusolih dan ulamak yang muktabar telah menamakan malaikat maut sebagai Izrail.
Berikut adalah beberapa dalil di mana para salaf dan ulamak yang muktabar menyebut nama malaikat maut sebagai Izrail :
IMAM-IMAM AHLI TAFSIR
Berkata Imam At-Tsa’labi :
قال مُقاتِل والكَلبي: بلغْنا أنّ اسم ملك الموت عزرائيل
Artinya : “Telah berkata olih Imam Muqatil dan Al-Kalby : Telah sampai kepada kami sungguhnya nama malaikat maut ialah Izrail.” (Kitab Tafsir Al-Kasyfu Wa Al-Bayan)
Dan berkata Imam Al-Baghawi :
﴿مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ﴾ أَيْ وُكِّلَ بِقَبْضِ أَرْوَاحِكُمْ وَهُوَ عِزْرَائِيلُ
Artinya : “Firman Allah ‘malaikat maut yang diwakilkan kepada kamu sekelian’ artinya telah diwakilkan mengambil segala ruh kamu yaitu Izrail.” (Kitab Tafsir Ma’alim At-Tanzil)
Dan berkata Imam Ibnu ‘Athiyyah :
ومَلَكُ الْمَوْتِ اسمه عزرائيل
Artinya : “Dan malaikat maut itu namanya Izrail.” (Kitab Tafsir Al-Muharrar)
Dan berkata Imam Fakhrurrazi :
وَثَبَتَ بِالْخَبَرِ أَنَّ عِزْرَائِيلَ هُوَ مَلَكُ الْمَوْتِ
Artinya : “Dan telah sabit dengan khabar sungguhnya Izrail itu dialah malaikat maut.” (Kitab Tafsir Mafatih Al-Ghaib)
Dan berkata Imam Ibnu Juzai :
مَلَكُ الْمَوْتِ اسمه عزرائيل
Artinya : “Malaikat maut itu namanya Izrail.” (Kitab Tafsir Al-Tashil li Ulum al-Tanzil)
Dan berkata Imam Abu Hayyan :
ومَلَكُ الْمَوْتِ: اسْمُهُ عِزْرَائِيلُ
Artinya : “Dan malaikat maut itu namanya ialah Izrail.” (Kitab Tafsir Bahrul Muhith)
Berkata Imam Ibnu ‘Adil Al-Hanbali :
وملك الموتِ واسمه عِزْرَائِيلُ
Artinya : “Dan malaikat maut namanya ialah Izrail.” (Kitab Tafsir Al-Lubab)
Dan berkata Imam As-Suyuthi :
قال السيوطي في الدر المنثور في التفسير بالمأثور: مَلَك الْمَوْت واسْمه عزرائيل
Artinya : “Malaikat maut namanya Izrail.” (Kitab Tafsir Dur Al-Mantsur)
ULAMAK MUKTABAR
Telah berkata Syeikh Ali Mulla Al-Qari Al-Hanafi :
قال المُلا علي القاري في مرقاة المفاتيح شرح مِشكاة المصابيح: وَالْقَابِضُ مِنْ جَمِيعِ الْأَرْضِ [أي للأوراح] هُوَ عِزْرَائِيل
Artinya : “Dan yang mencabut pada semua bahgian bumi akan segala ruh yaitulah Izrail.” (Kitab Mirqat Al-Mafatih syarah kitab Misykat Al-Masobih)
Dan berkata Imam Al-Munawi :
إنما قَبَضَها عزرائيلُ عليه السلامُ مَلَكُ الموت
Artinya : “Hanya sungguhnya mengambil akan nyawa itu olih Izrail a.s. yaitu malaikat maut.” (Kitab Faidhul Qadir Syarah Jami’ul Syaghir)
Dan telah berkata Syeikh Zakaria An-Ansori :
قوله تعالى: ﴿قُلْ يَتَوَفاكُمْ مَلَك المَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ﴾ الآيةَ، هو عزرائيلُ عليه السلام
Artinya : “Bermula firman-Nya : ‘Katakan mengambil segala nyawa kamu olih malaikat yang telah diwakilkan kepada kamu yaitulah Izrail a.s.” (Kitab Fathul Rahman bi Kasyfi Ma Yaltabisu fi Al-Quran)
Dan ramai lagi yang menyebut nama malaikat maut dengan sebutan Izrail seperti Imam Qadhi ‘Iyadh pada Kitab As-Syifa dan Imam Al-Qurtubi pada Kitab Tafsir Ahkamul Quran dan Imam Badaruddin ‘Ainy pada Kitab Umdatul Qaari Syarah Sahih Al-Bukhari dan Imam As-Syaukani pada Kitab Fathul Qadir dan Syeikh Al-Mubarakfuri pada Kitab Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan At-Tirmizi dan Imam Ibnu Al-Jauzi dan lainnya.
KESIMPULAN
Harus memanggil malaikat maut ini dengan Malakul Maut atau Izrail.
Perkataan orang yang berkata nama Izrail tidak disebut olih salaf dan ulamak muktabar adalah perkataan yang dusta.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus